Pengenalan Batu Permata
Batu permata sama ada berharga atau separa berharga ialah sejenis mineral yang menarik,
apabila dipotong atau dicanai - digunakan sebagai barang kemas dan perhiasan. Sesetengah
batu (seperti lapis lazuli) dan bahan organik (seperti amber dan mutiara) bukannya sejenis
mineral tetapi digunakan sebagai perhiasan, dan oleh itu diterima sebagai batu permata.
Kebanyakan batu permata keras, tetapi terdapat juga mineral yang lembut dijadikan batu
permata kerana kecantikannya atau mempunyai sifat fizikal yang ada nilai estetik. Jarang
dijumpai juga merupakan satu karakteristik yang menjadikan nilai yang tinggi kepada batu
permata. Kajian berkenaan dengan batu permata dinamakan gemologi.
Sejak zaman dahulu, batu permata digunakan sebagai bahan perhiasan yang berharga
dan turut digunakan sebagai simbol kekayaan, kekuasaan dan keagungan dalam tamadun silam.
Batu permata dikenalpasti oleh ahli gemologi yang menggambarkan batu permata dan
karakteristiknya menggunakan terminologi yang teknikal dan spesifik kepada bidang gemologi.
Karakteristik pertama yang digunakan oleh ahli gemologi untuk mengenalpasti batu permata
ialah komposisi kimia. Sebagai contoh, diamond terhasil dari karbon (C) dan ruby dari
alumunium oksida (Al2O3). Selepas itu, kebanyakan batu permata adalah
kristal dimana ia diklasifikasikan dengan sistem kristal seperti kubik atau trigonal atau
monoklinik. Satu lagi terma yang digunakan ialah ragam (habit), iaitu bentuk permata yang
dijumpai. Sebagai contoh diamond mempunyai sistem kristal kubik dan biasa dijumpai
sebagai oktahedron.
Batu permata juga dikelaskan kepada kumpulan, spesis dan varieti. Sebagai contoh ruby ialah
varieti berwarna merah dari spesis corundum, manakala corundum yang mempunyai warna lain
selain merah dikira sebagai sapphire. Emerald (hijau), aquamarine (biru), bixbite (merah),
goshenite (tidak berwarna), heliodor (kuning), dan morganite (merah jambu) merupakan
varieti mineral dari spesis beryl. Selain itu, sifat fizikal batu permata turut menjadi
rujukan kepada karakteristik batu permata seperti indeks pembiasan, penyebaran cahaya,
graviti tentu, kekerasan, corek (streak), kilauan (luster), fraktur dan pembelahan (cleavage).
Terdapat batu permata yang menunjukkan sifat pleokorisme atau dwi biasan (double
refraction). Batu permata juga dinilai dengan sifat pencahayaan dan penyerapan spektrum
cahaya. Objek, jasad atau bahan lain yang terkandung di dalam batu permata dikenali
sebagai bendasing (inclusion).
Perbezaan yang ketara diantara batu permata asli dengan batu biasa ialah kecantikan,
ketahanan, kekerasan, kesukaran untuk mendapatkannya, cara batu permata membias dan
memancarkan cahaya, dan ciri-ciri lain yang tidak terdapat pada batu biasa. Kebanyakan
batu permata adalah mineral ataupun kristal batuan di dalam kerak bumi. Batu permata
mempunyai komposisi kimia yang spesifik, dan struktur atom yang tersusun rapi di dalam
bentuk tertentu. Komposisi kimia ini seterusnya membentuk warna, fizikal, dan ciri-ciri
yang membezakan batu permata diantara satu sama lain. Berat batu permata diukur dalam
nilai karat dimana satu karat ialah 0.2 gram (1/5 gram).
Batu permata perlu keras dan tahan terhadap perubahan kimia dengan pemakaian yang
kerap. Kekerasan (hardness) dan ketahanan (durability) merupakan kunci utama di dalam
menentukan batu permata. Skala 1 hingga 10 digunakan bagi menentukan kekerasan batu
permata yang dikenali sebagai Skala Mohs. Skala ini dicipta oleh Friedrich Mohs seorang
pakar mineralogi yang berasal dari German dan digunakan sebagai standard di dalam
menentukan kekerasan batu permata. Di dalam skala kekerasan tersebut, diamond merupakan
mineral terkeras (10) dan talkum (talc) merupakan mineral yang paling lembut (1).
Batu permata yang sesuai bagi pemakaian yang kerap haruslah keras dan berada pada
nilai dalam lingkungan 6 hingga 10 pada skala Mohs.
Walaupun kekerasan merupakan faktor penting di dalam penilaian batu permata, satu
perkara yang penting juga ialah kekuatan (toughness) batu permata tersebut. Diamond
mempunyai kekerasan 10 pada skala Mohs merupakan mineral terkeras di dunia tetapi tidak
begitu kuat sebenarnya kerana terdapat ikatan karbon yang lemah dan boleh pecah jika
terkena hentaman yang kuat. Begitu juga sapphire dan ruby (nilai 9 pada skala Mohs),
topaz (8), emerald (7.5 hingga 8), dan beberapa batu permata lain boleh pecah jika
terkena hentaman yang kuat. Selain itu, terdapat juga batu permata yang keras tetapi
tidak boleh bertahan dengan perubahan kimia atau pendedahan kepada gelombang ultrasonik
atau cahaya ultraviolet seperti kunzite, hiddenite dan tanzanite. Kekuatan (toughness)
menjadi ciri-ciri istimewa pada sesetengah batu permata. Contohnya jadeite yang hanya
mempunyai kekerasan pada nilai 7 skala Mohs tetapi mempunyai struktur yang terdiri
dari gentian fiber yang terikat kukuh diantara satu sama lain untuk menjadikannya sebagai
satu batu permata yang cukup kuat.
Potongan batu permata
Potongan dan membentuk batu permata perlu dilakukan oleh pakar dan mereka yang mahir bagi
mendapatkan bahagian yang cantik pada batu permata bagi memperlihatkan kecantikan dan
keindahannya. Apabila membuat potongan, pakar akan seboleh-bolehnya cuba mendapatkan
semaksimum mungkin saiz batu permata tersebut. Potongan pada batu juga
mengambil kira kekerasan, dispersion (pecahan cahaya), birefringence
(pembiasan cahaya), cleavage (jarak diantara dua sudut), flaw (ciri-ciri
asal yang tidak sempurna), dan inclusion (bendasing di dalam batu). Selain itu,
potongan pada batu permata perlu pertimbangan mengikut jenis batu tersebut sama ada
lutsinar, translucent (separa lutsinar), atau opak (tidak boleh ditembusi cahaya).
Batu opak seperti opal dan turquoise biasa dipotong secara cabochon. Ciri-ciri istimewa
pada sesetengah batu seperti asterism (star) dan cathoyancy (cat's eye)
memerlukan potongan secara cabochon berbentuk bulat atau bujur dengan permukaan yang
licin dan dilakukan oleh pakar. Batu dengan kesan asterism atau cat's eye ini akan
dipotong mengikut darjah sudut yang sesuai agar kesan "star" atau "cat's eye" akan
lebih menyerlah.
Pemotongan batu permata biasanya dibuat menggunakan mesin seperti pengisar. Mesin ini
digunakan untuk menajam, membentuk, menggilap dan meratakan permukaan batu permata. Bagi
batu permata lutsinar, potongan brilliant memerlukan banyak facet (permukaan
bersegi-segi) biasa digunakan bagi batu permata yang lutsinar bagi memperlihatkan kilauan
dan pancaran cahaya yang maksimum serta warna yang menarik. Potongan pada batu juga
menyerlahkan luster (jumlah cahaya yang dibiaskan dan dipancarkan). Kebanyakan batu
permata mempunyai vitreous luster yang juga dikenali sebagai glass-like
luster (kilauan seperti kaca). Facet perlu dipotong dengan sudut yang tepat
bergantung kepada sifat batu permata. Jika sudut terlalu dalam atau terlalu rendah,
cahaya akan menembusi batu permata tersebut dan tidak dipantulkan seterusnya menyebabkan
kecantikan batu permata tersebut kurang menyerlah. Peralatan yang tertentu seperti mesin
facet digunakan bagi memegang batu permata ketika dipotong pada keadaan yang rata
agar potongan yang sama dan sempurna dapat dicapai. Dalam keadaan tertentu, sesetengah
pemotong batu permata menggunakan alat pemotong yang melengkung bagi mendapatkan facet
yang melengkung.
Nilai batu permata
Tiada sistem penggredan batu permata yang standard diterima pakai dalam menggred batu
permata kecuali diamond. Diamond digred menggunakan satu sistem yang dibangunkan oleh
Gemological Institute of America (GIA) seawal tahun 1950-an. Sistem penggredan GIA
memperkenalkan kaedah penggredan kejernihan pada 10x pembesaran sebagai standard bagi
penggredan diamond. Batu permata lain masih lagi digredkan menggunakan mata kasar
(20/20 penglihatan).
Sejak beberapa ratus tahun lalu, batu permata dipecahkan kepada dua kategori; berharga
(precious) dan separa berharga (semi-precious). Diamond, ruby, sapphire dan emerald
diletakkan dibawah kategori batu permata berharga. Kategori ini diguna pakai sejak
sekian lama dan sering berubah mengikut peredaran masa. Pengkategorian ini juga agak sukar
kerana nilai batu permata dan pengkelasan batu permata berharga berbeza-beza mengikut
masyarakat dan tempat. Selain dari diamond, ruby, sapphire dan emerald; pearl dan opal
(bukannya sejenis mineral) turut dimasukkan dalam kategori batu permata berharga. Amethyst
pernah dikategorikan sebagai batu permata berharga oleh beberapa tamadun seperti Tamadun
kuno Greece sehinggalah pada kurun ke 19, deposit amethyst ditemui di Brazil. Beberapa
kurun lepas, aquamarine, peridot dan cat's eye pernah menjadi begitu popular dan dihargai
oleh masyarakat dunia.
Nilai batu permata ditentukan dari jenisnya, warna, saiz (berat di dalam karat),
kesukaran bagi mendapatkannya, populariti, dan kecantikannya. Diamond dinilai menggunakan
kaedah 4C; clarity (jernih), carrat (karat), colour (warna) dan
cut (potongan). Sejenis alat yang dikenali sebagai "mnemonic device" digunakan
bagi menilai 4C pada diamond dan
memudahkan kefahaman pengguna berkenaan dengan faktor-faktor penggredan diamond. Bagi
diamond, potongan merupakan kriteria utama yang menentukan nilainya diikuti dengan warna
dan kejernihan. Ini kerana diamond perlu dilihat sebagai batu permata yang bersinar,
memecahkan cahaya kepada tujuh spektrum warna seperti pelangi (dispersion) yang
dipecahkan kepada pancaran cahaya yang kecil (scintillation) dan sangat menarik jika
dilihat pada mata kasar (brilliance). Jika diamond tidak dipotong, ciri pencahayaan ini
tidak akan kelihatan dan menjadikannya hampir tidak bernilai. Bagi batu permata yang
berwarna termasuk diamond yang berwarna, ketulenan dan kecantikan warna menjadi penentu
kepada kualiti dan nilai.
Karakteristik fizikal yang menjadikan batu permata berwarna menjadi berharga adalah kerana
warna, kejernihan (walaubagaimanapun batu permata seperti emerald sentiasa mempunyai
inclusion), potongan, fenomena optik yang luas biasa seperti zon warna (colour
zoning) dan "asteria" (kesan bintang, "asterism"). Tamadun Greek sebagai contoh amat
menghargai kesan asteria pada batu permata, yang dipercayai mempunyai kuasa di dalam
percintaan, dan Helen of Troy dikatakan memakai star-corundum.
Satu lagi faktor dipanggil sebagai "air" digunakan bagi mengenalpasti nilai batu permata.
Air ialah istilah lama yang merujuk kepada warna dan kejernihan batu permata; digunakan
dalam hierarki first water (batu permata dengan "air" yang sangat bermutu),
second water, third water dan byewater. Kita mungkin biasa
mendengar istilah ini digunakan oleh peminat batu permata bagi menilai batu permata
seperti emerald. Kecantikan "air" pada emerald merujuk kepada warna hijaunya yang pekat
dengan inclusion atau "jardin" yang cantik.
Pada hari ini, terma-terma tradisional tidak lagi digunakan dalam pasaran. Banyak batu
permata tanpa mengira jenis digunakan pada barang kemas yang mahal mengikut rekabentuk,
jenama, fesyen, bekalan, rawatan dan lain-lain. Namun demikian, diamond, emerald, ruby
dan sapphire mengekalkan reputasi yang lebih tinggi berbanding batu permata yang lain.
Batu permata yang luar biasa dan amat jarang ditemui seperti andalusite, axinite,
cassiterite, clinohumite dan bixbite tidak dikenali ramai kecuali bagi sesetengah orang.
Batu permata ini hanya ditemui di satu-satu lokasi dan tidak mempunyai signifikan yang
besar dalam pasaran kerana terlalu sukar ditemui menyebabkan ruang pasaran kepada batu
permata ini terhad.
Harga batu permata boleh turun naik dengan mendadak (seperti tanzanite sejak dipopularkan
beberapa dekad lalu) atau berada dalam paras harga yang stabil (seperti diamond). Secara
umumnya, harga per karat bagi batu permata yang lebih besar akan lebih tinggi berbanding
batu permata yang lebih kecil, tetapi populariti bagi beberapa jenis saiz boleh
mempengaruhi harga.
Warna Batu Permata
Warna merupakan tarikan sebenar kepada batu permata. Warna sesuatu bahan atau jasad
bergantung kepada sifat cahaya. Cahaya siang, juga dikenali sebagai cahaya putih
sebenarnya merupakan campuran pelbagai jenis spektrum warna. Apabila cahaya menembusi
sesuatu jasad, sebahagian daripadanya akan diserap, manakala sebahagian lagi akan
menembusi jasad tersebut. Bahagian cahaya yang tidak diserap dapat dilihat oleh mata kasar
sebagai cahaya putih. Ruby kelihatan berwarna merah kerana ia menyerap semua warna dari
cahaya putih - biru, kuning, ungu, dll - kecuali warna merah.
Bahan yang sama boleh memancarkan warna yang berlainan. Sebagai contoh, ruby dan sapphire
mempunyai komposisi kimia yang sama (kedua-duanya adalah corundum) tetapi mempunyai
warna yang berlainan. Sapphire mempunyai pelbagai warna; biru dan merah jambu,
"fancy sapphires" mempunyai warna kuning, hijau, ungu, hitam dan tidak berwarna manakala
"Padparadscha sapphire" mempunyai warna oren-merah jambu.
Perbezaan warna ini wujud kerana perbezaan struktur atom dalam batu. Batu yang mempunyai
komposisi kimia yang sama tidak semestinya mempunyai sifat yang sama. Pada setiap masa,
atom di dalam struktur batu berkenaan akan digantikan dengan atom yang berlainan.
Atom-atom ini (dikenali sebagai zat, bahan; "impurities") akan menyerap beberapa jenis
warna dan meninggalkan beberapa jenis warna yang lain. Sebagai contoh: beryl tidak
berwarna dalam bentuk tulen. Namun begitu beryl akan menjadi emerald jika mengandungi
zat kromium. Jika mangan wujud, beryl akan menjadi morganite dan akan menjadi aquamarine
jika wujud kehadiran besi (ferum). Sesetengah rawatan kepada batu permata menggunakan
kelebihan ini bagi memanipulasikan zat di dalam batu untuk menukar warna batu permata.
Rawatan Batu Permata
Banyak batu permata yang berada dalam pasaran telah dirawat bagi meningkatkan serta
menyerlahkan warna dan kejernihannya. Rawatan batu permata dalam sesetengah kes boleh
mempengaruhi harga sesuatu batu permata. Terdapat rawatan yang digunakan secara meluas
kerana hasilnya yang stabil manakala ada juga rawatan yang tidak begitu stabil dimana
batu permata boleh berubah kembali ke rupa asalnya.
Batu Permata Sintetik dan Tiruan
Sesetengah batu permata dibuat bagi meniru batu permata lain. Contohnya cubic zirconia
digunakan bagi meniru diamond. Begitu juga moissanite. Ciri batu permata tiruan sangat
menyerupai yang asli tetapi tidak mempunyai sebarang persamaan dari segi komposisi kimia
dan karakteristik fizikal.
Walaubagaimanapun, batu permata yang dibuat di makmal bukanlah tiruan. Sebagai contoh
diamond, ruby, sapphire dan emerald yang dibuat di makmal mempunyai komposisi kimia
dan ciri serta karakteristik fizikal yang sama dengan yang dijumpai secara semulajadi.
Cuma proses makmal tidaklah begitu panjang berbanding proses semulajadi yang memakan
masa berjuta malah berbilion tahun untuk batu permata ini terbentuk. Batu permata yang
dibuat melalui makmal ini dinamakan sintetik. Corundum sintetik (ruby dan sapphire)
sangat biasa berada di pasaran dan kosnya lebih rendah daripada yang asli. Pada hari ini,
diamond sintetik dibuat secara berskala komersil bagi menghasilkan bahan geseran
(abrasive) dan pemotong. Diamond sintetik yang mempunyai kualiti sebagai batu permata
juga dibuat terutama sekali diamond yang berwarna bagi tujuan perhiasan.
Sama ada asli atau sintetik, karakteristik batu permata ini adalah sama. Batu permata
sintetik mempunyai warna yang lebih cerah kerana tiada zat (impurity) dan mempunyai sifat
yang lebih jernih. Namun begitu, batu permata asli lebih dihargai kerana kesukaran untuk
mendapatkannya.